Kenali Founder CEO Sambal Che'Nor

Kenali Founder CEO Sambal Che'Nor

Puan Noraida atau kenali sebagai Che'Nor berasal daripada Jitra Kedah, membesar di Seremban. Beliau sudah berkahwin dengan Tuan Mohd Nazri Bin Mat Yusof,  yang merupakan COO Che Nor Food dan belum dikurniakan cahaya mata.

Beliau bersekolah rendah di SRJK(c) Kg Seri Sikamat dan menyambung peringkat menengah di SMKA Sheikh Haji Mohd Said Seremban. Selepas tamat Program Latihan Khidmat Negara, beliau meneruskan pembelajaran di peringkat matrikulasi di Kolej Mara Kuala Nerang seterusnya terpilih melanjutkan Ijazah Sarjana muda Ekonomi di Universiti Malaya. Bermula di Matrikulasi beliau digelar dengan panggilan Che'Nor untuk membezakan dengan rakan lain yg juga bernama Aida. Dan gelaran itu melekat sehingga kini , langsung menjadi jenama yang sangat terkenal hari ini.

  Che’Nor merupakan anak sulung daripada 3 orang adik beradik. Ibu dan ayah Che'Nor yang lebih dikenali sebagai Pak Tam dan Mak Tam mempunyai pengalaman dan ilmu dalam bidang F&B selama 22 tahun. Ke mana tumpahnya kuah , kalau bukan ke nasi. Begitulah perumpamaan yang sesuai untuk keluarga Che'Nor ini. Kini, Pak Tam dan Mak Tam merupakan Pengarah Urusan untuk Che Nor Food Solution Sdn Bhd. 

  Che'Nor berusia 28 tahun sewaktu mengasaskan Sambal Garing Che'Nor namun beliau sebenarnya sudah mula berniaga sejak zaman sekolah lagi. 

  Pelbagai perniagaan yang beliau lakukan dari zaman sekolah antaranya membuat jualan alat tulis , jualan snek dan keropok , jualan nasi lemak, jualan hari kantin sekolah dan menyediakan servis kurier di kolej. 

  Semasa sedang menuntut di Universiti, beliau bergiat aktif dalam perniagaan Multilevel Marketing produk berasaskan Gamat Emas sehingga mencapai pangkat tinggi. 

Selepas tamat pengajian, disebabkan terlalu minat dengan bidang F&B, beliau memulakan karier di syarikat rangkaian restoran pizza dari Filipina sebagai Manager Outlet , selepas 3 bulan sahaja beliau telah ditawarkan jawatan Human Resource Manager. 

Selepas 4 tahun bekerja kuat, jiwa beliau memberontak untuk menjalankan perniaagan restoran melayu milik sendiri. Berbekalkan pengalaman dan modal simpanan sendiri dan suami, beliau mula membuka restoran pada tahun 2012 di Bandar Pinggiran Subang. 

Pada tahun 2014, restoran berpindah ke kawasan yang lebih strategik di Kota Damansara di rebranding dengan nama Restoran Che'Nor Cendol Madu. Perniagaan sangat baik di sini sehingga mendapat perhatian banyak blogger terkenal dan juga Jalan-Jalan Cari Makan TV3. 

Che'Nor memulakan produk Sambal Garing Che'Nor pada Mac 2015 dan betul- betul memberikan fokus utama pada industri pemprosesan makanan 100% sejak 2016 hingga kini.